Header Ads

KOTA ISTANBUL SYURGA KUCING JALANAN


Foto-foto dan video seorang Imam di Istanbul yang membuka pintu masjid untuk membiarkan kucing-kucing liar berteduh ketika musim sejuk melanda ibu kota Turki itu telah menarik perhatian pencinta kucing termasuk diri ini.

Pengalaman melancong ke Istanbul pada tahun lepas ketika musim luruh benar-benar mengujakan hati saya. Sememangnya, bandar Istanbul adalah sebuah kota 'syurga' buat kucing jalanan dan juga bagi penggemar haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW ini.

Pada mulanya, saya langsung tidak mengetahui bahawa orang Istanbul begitu mendekati dan mesra dengan kucing-kucing jalanan, sehinggakan saya berpeluang melihat dari kacamata sendiri.  Semasa berjalan di kaki lima sekitar kawasan utama pelancong, terdapat banyak bekas-bekas plastik yang telah diisi dengan makanan kucing jenis kering (kibbles) dimerata tempat. Boleh katakan, sepanjang jalan pasti ada sahaja bekas makanan untuk si comel ini.



Pelik dengan 'budaya' tersebut, lantas saya bertanya pada salah sebuah kedai di situ jika mereka juga meminati kucing. Menurutnya, kebanyakan penjaga kedai sekitar bandar Istanbul hanyalah menyediakan makanan kepada kucing-kucing jalanan kerana itu sudah menjadi kebiasaan buat peniaga di sana. Mereka sanggup membelanjakan sedikit wang untuk membeli 'kibbles' demi memastikan kucing-kucing jalanan itu tidak kelaparan.

Oleh sebab itu, kucing-kucing jalanan di Istanbul semuanya dalam keadaan sihat-sihat belaka. Sukar untuk kita mencari kucing yang berpenyakit ataupun dalam kecederaan. Keadaan kucing-kucing jalanan di Istanbul adalah sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan 'stray cats' di Malaysia. Semuanya kelihatan cergas, sihat, dan juga mempunyai bulu lebat seolah-olah mendapat penjagaan serta perhatian dari pemilik walhal mereka hanyalah 'penghuni jalanan'.



Selain itu, masyarakat Istanbul sangat mesra dengan pelancong, malah sesama sendiri juga. Memang rasa tak rugi mengunjungi bandar bersejarah ini. Sewaktu makan di gerai kebab, saya terlihat sekumpulan kucing liar. Tanpa segan silu, saya memberi makan kepada kucing tersebut secara sembunyi. Maklumlah, bukan semua pemilik gerai selesa dengan kehadiran kucing di premis makanannya kerana bertanggapan bahawa kucing adalah kotor atau sebagainya.

Jika di negara-negara lain yang dilawati, pasti kita akan ditegur atau diperhati sekiranya memberi makanan pada kucing jalanan, namun 'keadaan' itu tidak belaku di bandar Istanbul. Anda boleh berkongsi makanan dengan Si Comel secara terbuka! Tidak perlu bersusah payah mengunjungi kafe kucing yang semakin digilai di Malaysia kerana terasa seolah-olah sedang menikmati juadah sambil ditemani sekumpulan kucing. Macam makan di 'cat cafe' versi gerai kebab.

Memang benar, orang-orang yang menyayangi kucing ini boleh dikatakan berjiwa lembut serta penyayang. Kelibat kucing-kucing jalanan di Istanbul seperti mempunyai aura yang tersendiri apabila sentiasa menjadi tarikan kepada pelancong dari serata tempat. Saya juga tidak melepaskan peluang merakam foto-foto kucing jalanan di sana.



Bukan hanya kucing sahaja, malah anjing-anjing turut bersantai sekitar kaki lima dan padang rumput berhampiran tempat-tempat tarikan pelancong antaranya Hagia Sophia dan Blue Mosque. Apa yang memeranjatkan saya adalah anjing-anjing jalanan di Istabul telah ditanda pada bahagian telinga (seperti lembu) untuk menunjukkan bahawa 'penghuni jalanan' ini telah diperiksa serta diberikan suntikan vaksin bagi mencegah sebarang penularan penyakit.

Jelas sekali bahawa orang-orang Istanbul sangat menyayangi dan mengambil berat terhadap nasib haiwan terbiar sehinggakan dapat menjalani rutin harian berniaga, bersosial dan sebagainya tanpa sebarang masalah mahupun lakukan penganiayaan pada haiwan jalanan ini.

Instanbul, Aku Datang
Yunus Yaman (Kuala Lumpur)

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.