Header Ads

Persediaan Menghadapi Kelahiran Anak Kucing


Siapa yang tidak teruja kalau melihat si bulus bunting dan bakal menjadi ibu. Bagi yang belum berpengalaman, pasti akan timbul beberapa persoalan. Adakah kucing akan menunjukkan tanda-tanda sebelum melahirkan anak? Adakah proses kelahiran ini memerlukan perhatian secukupnya daripada pemiliknya? Ikuti penjelasan Doktor Natrah berkenaan hal ini.

Memang benar, kucing mempunyai kebolehan semulajadi untuk beranak bersendirian tanpa bantuan dari kaumnya mahupun manusia. Campur tangan dari manusia juga boleh mengundang bahaya kerana boleh membuatkan ibu kucing berasa tertekan. Namun, apabila sampai kepada proses kehamilan pada ibu kucing, kita seharusnya bertindak dengan segera bagi mempersiapkan segala penyediaan menjelang kelahiran si bulus kecil. Malah, penjagaan si kecil selepas kelahiran perlu diambil berat oleh setiap pemilik kucing.


TANDA AWAL

Jika tempoh kucing anda untuk melahirkan anaknya semakin hampir, ibu kucing akan menunjukkan gejala-gejala seperti kerap membuat bising, menggaru pada alas atau tempat pembuangan najis, mencari-cari tempat tersembunyi yang gelap dan selera makannya akan berkurang. Anda perlu meningkatkant pengawasan terhadapa kucing tersebut bagi memberikan keselesaan dan ruang yang selamat buat ibu kucing agar proses kelahirannya berlalu dengan mudah dan cepat tanpa sebarang masalah.

Setiap ibu kucing akan mengalami tempoh bunting ataupun kehamilan antara 63 hingga 65 hari, lebih kurang 9-10 minggu. Tanda-tanda awal kehamilan si ibu akan mula kelihatan selepas 3 minggu pertama seperti puting susu kucing mula membengkak dan warnanya berubah dari putih ke merah jambu yang cerah serta perutnya akan mula keras. Pembentukkan tulang akan berlaku selepas 25 hari dan ke atas.

Bagi ibu kucing yang pertama kali melalui proses kelahiran anak ini mampu mengandung enam anak kucing sekaligus, jika diambil kira secara purata, setiap kucing hanya mampu mengandung antara tiga ke empat anak kucing sahaja dalam satu masa. Terdapat juga kes dimana perut ibu kucing kelihatan besar ketika bunting, tetapi hanya melahirkan seekor sahaja. Ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan Doktor Natrah sendiri dalam menyambut kehadiran anak kucing yang baru dilahirkan.

Selain itu, doktor haiwan juga mampu menganggarkan bilangan kucing yang bakal dilahirkan dengan cara rabaan pada bahagian perut kucing semasa melakukan pemeriksanaan serta penggunaan teknologi seperi ‘Ultrasound’ juga mampu mengesahkan kehamilan dan bilangan kucing. Penggunaan X-Ray turut boleh dilakukan pada minggu ke enam tetapi kaedah ini tidak disarankan kerana boleh memudaratkan kandungan dan juga induk kucing itu.



KEKERAPAN BERANAK

Setiap kali proses kehamilan kucing akan melibatkan penggunaan tenaga yang banyak oleh ibu kucing kerana semua vitamin dan nutrisi dalam badan si ibu telah diserapkan kepada anak kucing. Ini membuatkan tubuh si ibu dalam keletihan dan tidak bermaya. Justeru, kekerapan untuk kucing melahirkan anak adalah setahun tiga kali secara purata, namun hal ini masih boleh dikawal jika pemilik kucing mempunyai kesedaran mengkasikan setiap kucing jantan mahupun betina mereka.

Kesan yang akan dialami oleh ibu kucing jika terlalu kerap melahirkan anak adalah penurunan berat badan secara mendadak lalu membuatkan ibu kucing berasa tertekan dan tubuh badanya juga akan panas akibat demam.

Selain itu, kesan sampingan yang kurang diberi pendedahan kepada pemilik kucing di luar sana adalah jangkitan ‘Pyometra’. Jangkitan ini berasal daripada perkataan latin iaitu pyo bermaksud nanah dan metra iaitu rahim. Dalam bahasa Inggeris ia disebut pus filled uterus atau nanah dalam rahim. Ia merupakan jangkitan dalam rahim yang boleh dianggap serius dan mengancam nyawa kucing betina jika rawatan awal tidak diberikan.


JANGKITAN PYOMETRA

Pyometra biasanya berlaku dalam lingkungan enam hingga lapan minggu selepas kucing betina mempunyai keinginan untuk mengawan semula selepas melahirkan anak. Gejala lain yang menunjukkan si comel mendapat jangkitan lain ialah hilang selera makan, naik atau turun berat badan secara mendadak, lesu dan kehausan melampau. Kucing juga akan kerap terkencing, perut membuncit dan berlaku peningkatan jumlah sel darah putih.

Sehubungan itu, anda sebagai pemilik jangan terlalu ghairah mengawankan kucing betina anda tanpa pengetahuan yang secukupnya kerana khuatir jangkitan sebegini boleh terjadi jika terlalu kerap ibu kucing beranak. Kaedah pemandulan adalah langkah terbaik bagi membendung jangkitan Pyometra ini.

Doktor Natrah turut berpesan, jadilah individu yang cintakan kucing dengan pengetahuan yang secukupnya agar nyawa si ibu kucing mahupun kelahiran anak kucing itu mampu memberikan keriangan kepada kita apabila melihat pembesaran mereka tanpa sebarang masalah atau jangkitan kesihatan yang mampu mengundang risiko kepa si bulus ini.

INFO
1) Pemilik kucing betina perlu memvaksikan ibu kucing sebelum membiarkan mereka mengawan bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kelahirannya.
2) Selepas 7 minggu kelahiran kucing, ia sudah boleh dimandulkan.
3) Berikan makanan ‘Kitten food’ kepada si ibu yang kaya dengan protein dan nutrisi penting untuk tumbesaran anak kucing.
4) Kucing betina tidak akan mengalami ‘monopause’ dan boleh mengandung sehingga berumur 14 tahun.

5) Kucing betina mencapai tempoh kematangan lebih cepat dari kucing jantan, iaitu pada perbezaan masa lebih kurang 2 bulan.

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.