Header Ads

Haiwan Juga Berpuasa?

Setiap kali Ramadhan bertamu, sebahagian umat manusia khususnya umat Islam menjalankan rukun Islam yang ketiga iaitu ibadah PUASA. Sebenarnya berpuasa bukan hanya merupakan amalan umat Islam sahaja, ia juga sebenarnya menjadi tradisi banyak umat-umat terdahulu dunia semenjak Nabi Adam, Nabi Daud, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan juga pada nabi-nabi yang lain.
Menahan haus dan lapar selama sebulan merupakan ujian yang harus dihadapi pada bulan Ramadhan untuk menjadikan setiap individu lebih bertaqwa kepada Allah SWT. Tentunya puasa bukan hanya sekadar membuat kita sedar dan insaf tentang rasa lapar dan haus, ia juga membantu organ-organ yang ada di tubuh kita untuk menjadi jauh lebih sihat.
Kesan langsung yang dapat dilihat apabila kita berpuasa adalah sistem pencernaan di tubuh manusia. Sistem pencernaan tubuh badan sebenarnya memerlukan rehat setelah 11 bulan bekerja tanpa henti. Puasa berupaya menyingkirkan toksin yang berbahaya dan menyelaras semula sistem badan kepada fitrah fizikal yang terbaik.
Dalam suasana yang lebih umum, puasa tidak hanya terbatas kepada manusia sahaja. Ia juga dilakukan oleh sebahagian binatang dan tumbuh-tumbuhan di muka bumi yang indah ini.
Ada haiwan- haiwan tertentu berpuasa secara berkala dengan sebab dan tujuan yang berbeza berbanding ibadah puasa yang dilakukan manusia.
Sebagai contoh, seekor unta mampu berpuasa tanpa makan dan minuman sehingga berhari-hari. Ia mampu berjalan beratus-ratus kilometer di daerah padang pasir tanpa makanan dan minuman serta dalam keadaan iklim panas terik.
Dunia serangga turut memperkenalkan kepada manusia tentang corak puasa yang menunjukkan kebesaran Allah melalui ciptaan-Nya. Walaupun umum diketahui bahawa makanan adalah antara faktor pertumbuhan untuk semua organisma hidup, ulat beluncas membuktikan bahawa berpuasa dan menahan diri dari makanan dan minuman tidak menjejaskan tubuhnya.
Sebaliknya, ia membawa kepada pembaharuan dengan cara yang menawan dan hasil yang menakjubkan. Telur yang menjadi larva akan berpuasa buat seketika sehingga badan mereka membentuk fisiologi baru dengan membuang kulit lama.
Peringkat seterusnya menunjukkan serangga ini berubah dan membentuk semula organisma indah yang dipanggil rama-rama.
Kucing pula akan berpuasa ketika merasa sakit. Jika kucing tidak mahu makan dan minum, ini bermakna kucing tersebut sedang mengalami kesakitan Mekanisme semulajadi kucing untuk menyembuhkan sakitnya adalah dengan berpuasa. Bukan itu sahaja, kucing juga diharuskan berpuasa ketika prosedur pembedahan hendak dijalankan. Sekurang-kurangnya 5 hingga 7 jam sebelum pembedahan, mereka akan berpuasa dari pengambilan makan.
Setelah pembedahan itu selesai, kebiasaannya kucing akan meneruskan puasa mereka. sehingga kucing merasa dirinya sudah beransur pulih, maka kucing akan makan dengan sendirinya.

Justeru itu, sudah seharusnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang baik untuk menjalani ibadah berpuasa ini demi melengkapkan rukun islam ini kepada Sang Pencipta . 

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.