Header Ads

Cara Mengatasi Masalah Kutu Kucing - Dr Natrah


Definisi kutu kucing yang boleh Doktor rungkaikan? Adakah ia parasit atau sejenis jangkitan penyakit kepada kucing?

Kutu (Ctenocephalidesfelis) merupakan ektoparasit yang sering menjangkiti kucing, kutu hidup bergantung pada perumah (kucing) dengan menghisap darah. Lazimnya kutu ini tidak hidup bersendirian, ia boleh membiak dengan pantas (seekor kutu betina boleh bertelur sehingga 50 biji sehari) dan hidup berkelompok pada perumah tersebut.

Jangkitan kutu tidaklah dikelaskan sebagai penyakit, namun ia boleh mengundang pelbagai jangkitan penyakit lain jika tidak dirawat dengan kadar segera.


Apakah punca dan sebab kepada kucing itu boleh dijangkiti parasit seperti kutu ini?

Semua kucing terdedah dan berisiko untuk dijangkiti kutu tanpa mengira baka, selagi dia bernyawa dan berdarah. Antara faktor-faktor kucing yang berisiko tinggi untuk dijangkiti kutu adalah;
Tiada rawatan pencegahan kutu dari awal yang konsisten
Kucing yang berkeliaran di luar rumah (outdoor cats)
Tidak mustahil kucing indoor juga dijangkiti kutu melalui persekitaran dalam rumah
Tanda-tanda jangkitan kutu
- Radang pada kulit
- Kerap menjilat dan menggigit bulu badan
- Kerap menggaru dan keguguran bulu yang banyak
- Pucat pada gusi, hidung, bibir dan cuping telinga


Boleh Doktor kongsikan kategori atau jenis-jenis kutu yang sering menghinggapi pada tubuh kucing?

Ektoparasit yang terdapat pada kucing boleh dikelaskan kepada beberapa jenis antaranya;
Kutu (Fleas- Ctenocephalidesfelis)
Lice
Mites (Kutu telinga)
Sarcoptes (Kurap)


Mengikut kefahaman Doktor, kebiasaan bahagian tubuh kucing yang menjadi sasaran kutu untuk hinggap?

Boleh dikatakan seluruh bahagian badan kucing adalah kawasan sasaran, tetapi kutu kucing lebih gemar untuk berada di kawasan yang panas dan terlindung daripada sinaran cahaya seperti di bawah leher dan badan kucing.


Adakah semua peringkat umur kucing mampu diserang parasit seperti kutu ini?
Ya, kutu boleh menjangkiti semua peringkat umur yang terdedah kepada faktor-faktor seperti dinyatakan di atas sebelum ini.

Adakah kutu yang menghinggapi pada kucing peliharaan boleh berjangkit kepada manusia? Sekiranya boleh, apa kesan buruknya yang boleh Doktor kongsikan kepada pembaca.

Kutu tidak berupaya untuk menjangkiti manusia kerana kutu pada kucing adalah ‘species specific’ yang bermaksud kutu kucing (Ctenocephalidesfelis). Kutu kucing ini hanya menghuni ‘species’ kucing sahaja, tidak pada ‘species’ lain ataupun manusia.

Namun, bagi sesetengah individu, kutu kucing ini boleh menyebabkan alahan pada kulit mereka.


Bagaimana panduan atau langkah awal yang boleh dilakukan sendiri pemilik kucing untuk membuat pengawalan dan mencegah parasit kutu ini dari terus menghinggapi kucing peliharaan mereka?

Pemeriksaan kutu menggunakan sikat kutu yang dilakukan pada atas kain putih

Rawatan pencegahan kutu (topical di atas leher) perlu dilakukan setiap 1-2 bulan sekali terutama bagi kucing luar rumah (outdoor)

Ubat kutu perlulah dipreskrip (disahkan/diselia) oleh Doktor Veterinar, yang selamat dan bersesuaian dengan keadaan kesihatan kucing, berat, umur dan tahap jangkitan kutu itu sendiri

Grooming dan perapian bulu kucing perlu dilakukan kerap terutama sekali pada kucing jenis berbulu panjang (long haired)

Bersihkan persekitaran rumah, tempat tidur kucing, bekas najis dan semua kawasan yang disukai kucing anda. Vacuum semua karpet dan sofa dengan kerap, dan juga pembasmian kutu boleh dilakukan dengan menggunakan spray khas yang terdapat di kedai haiwan peliharaan.


Mengikut pandangan Doktor sendiri, apakah risiko dan kesan buruk sekiranya seekor kucing itu diserang jangkitan kutu secara kerap?

Kutu yang menghuni perumah mereka bukan sahaja menghisap darah untuk hidup, malah kutu ini merupakan vector untuk kuman dalam darah (blood-parasite) yang menjangkiti pada sel darah merah penghuni.

Antara kesan secara langsung yang boleh dilihat pada kucing yang dijangkiti kutu secara kerap adalah pucat (anemia) dan lesu, masalah kulit yang kronik serta masalah kecacingan.

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.