Header Ads

Mengapa Kucing Suka Kotak?


Bagi sebahagian besar kucing, bekas berbentuk kotak atau kadbod adalah tempat yang paling selasa buat si bulus yang manja ini untuk menghabiskan waktu terluang mereka. Meskipun saiz kotak mahupun kadbod itu tidak sebesar tubuh mereka, namun ternyata haiwan berbulu ini begitu menikmati untuk berada di dalamnya.

Tabiat kucing ini nampaknya berjaya menarik perhatian ahli-ahli saintis di seluruh dunia untuk mengkajinya. Para saintis mungkin telah berjaya merungkai persoalan kepada salah satu misteri besar dunia kucing iaitu kenapa kucing gemar menghabiskan masa mereka tidur dalam kotak seperti kadbod.

BERI PERLINDUNGAN

Menurut beberapa siri kajian saintifik yang berjaya dikumpulkan oleh laman Dailymail, terdapat dua sebab mengapa kucing gemar menjadikan kotak kadbod ini sebagai kediaman rasmi mereka walaupun umum disedari, fizikal kucing lebih besar dari saiz sesuatu kotak kadbod itu.

Antara sebab utamanya adalah kotak dapat memberikan perlindungan kepada kucing daripada tekanan. Menurut kajian yang telah dijalankan di Universiti Utrecht di Belanda, kucing yang menikmati waktu tidur mereka di dalam kotak mempunyai tahap tekanan yang lebih rendah berbanding kucing yang tidak melakukan perkara tersebut.

Ini kerana mereka kurang cenderung untuk agresif ketika bersembunyi di dalamnya. Si bulus akan merasakan yang diri mereka lebih selamat sewaktu berada di dalam kotak. Mereka juga dapat berlindung daripada pemangsa sekiranya mereka telah diekori dengan bersembunyi di dalamnya.
Pada hakikatnya, ruang persembunyian itu membolehkan mereka untuk memantau keadaan sekeliling tanpa dilihat oleh sesiapa termasuk pemangsa.

PEMANAS BADAN

Kotak atau kadbod menawarkan tempat yang aman bagi si bulus kesayangan untuk menikmati waktu tidur mereka. Seperti diketahui umum, kucing boleh tidur selama 18 hingga 20 jam sehari. Oleh yang demikian, kucing memerlukan tempat persembunyian yang akan membantu mereka untuk bertahan jika diundang bahaya.

Selain itu, kotak dapat mengekalkan tahap haba pada suhu badan kucing. Kebiasaannya, kotak kadbod diperbuat daripada pelbagai lapisan kad bagi mengekalkan kekerasan dan kekuatan kotak tersebut, sekaligus menjadikan ia penebat yang baik bagi melindungi kucing daripada kesejukan.

INFO


- Keadaan kucing yang gemar menghabiskan masa di dalam kotak pasir (litter box) adalah tidak begitu baik kerana boleh mengundang parasit seperti cacing, bakteri dan sebagainya yang berpunca dari sisa pembuangan najisnya. 

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.