Header Ads

Kucing Obes - Comel Atau Sebaliknya


Kucing yang bulat dan gemuk mungkin kelihatan menarik, lucu dan semestinya mempunyai tubuh fizikal yang comel. Namun, sebenarnya, ia memberi kesan buruk bagi kelangsungan hidup si kucing, dari segi kesihatan, bahkan dapat mengurangkan jangka hayat hidup si bulus kesayangan anda.

Tidak salah memanjakan mereka dengan ganjaran makanan yang enak dan lazat, namun pengetahuan serba sedikit mengenai penjagaan kesihatan si kucing terutamanya dari sudut permakanan yang baik dan berkhasiat perlu dititikberatkan kerana hari demi hari, sering kita melihat kes-kes kegemukan kucing menjadi punca kepada pengakhiran hidup haiwan berbulu ini.

TINJAUAN
Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Association For Pet Obesity Prevention pada tahun 2012 telah mencatatkan bahawa sebanyak 55% haiwan peliharaan terutamanya kucing dan anjing di Amerika Syarikat mengalami isu kegemukan.

Lanjutan daripada itu, kelihatan seperti fenomena kegemukan pada kucing hampir menyamai obesiti pada manusia. Ia bukan sesuatu perkara yang memeranjatkan. Bayangkan saja jika majikan atau lebih dekat dengan panggilan pemilik kucing turut mempunyai permasalahan yang sama, bagaimana mereka mahu mengambil berat dan menguruskan soal penjagaan serta kesihatan haiwan peliharaannya?

Fenomena obesiti ini sudah berada pada paras kritikal, dan paling membimbangkan  ia mula menular tidak terkecuali dialami oleh kucing-kucing di negara ini juga.

PERMASALAHAN SERIUS

Masalah obesiti pada kucing bukan satu perkara yang dipandang sebagai comel, remeh atau boleh dijadikan bahan hiburan sesiapa sahaja. Ia merupakan satu keadaan yang amat serius kepada kucing kerana kegemukan kebiasaannya akan mengakibatkan pelbagai gangguan kesihatan, sehingga boleh membawa maut antaranya penyakit jantung, ligamen pecah, kompromi pernafasan, keletihan, kencing manis atau diabetes, athritis dan penyakit berkaitan sistem urin seperti batu karang serta banyak lagi.

Kucing yang terlalu gemuk dianggap comel oleh pemilik-pemilik di luar sana, dan atas dasar sayang yang mendalam, mereka terus memberikan kucing tersebut makanan sehingga kucing itu sendiri menolaknya. Hal yang demikian merupakan tabiat yang akhirnya boleh menjadikan anda ‘pembunuh senyap dengan cara yang baik’ iaitu terus memanjakan kucing dengan makanan yang tidak diperlukan.

PENGAMBILAN MAKANAN

Secara khususnya, masalah kegemukan biasa terjadi pada kucing pertengahan umur, dan secara amnya, kucing yang berumur di antara 5 dan 10 tahun. Tempoh umur sebegini memerlukan perhatian lebih dari tuan bulus bagi membendungnya daripada menjadi lebih parah. Pengambilan lebih banyak kalori dalam tubuh kucing dan kesan akibat sesuatu penyakit juga mendorong kepada keadaan ini. Asasnya, pengambilan makanan yang berkalori tinggi, mengandungi daram yang berlebihan dan nutrisi yang tidak seimbang  tetap menyumbang kepada punca utama obesiti.

PEMANDULAN

Lazimnya, kucing yang dimandulkan dan kucing yang tinggal dalam rumah (indoor) adalah antara yang berisiko tinggi diserang obesiti, kerana faktor kekurangan aktiviti fizikal atau perubahan dalam metabolisme. Lemak yang terhasil dalam tubuh si kucing akan menjadi lebih lambat terbakar dari kucing normal.

Lantaran itu, rujuk kepada doktor haiwan bagaimana untuk mendapatkan diet yang tepat dan bersesuaian terhadap kucing yang telah dimandulkan ini.  Selain itu, usahakan juga agar kucing anda bergerak aktif selama 20 minit setiap hari.

MAKANAN KERING

Seterusnya, makanan kering yang kerap terhadam pada kucing akan menyebabkan pengubahan dan pemusnahan nutrien penting. Sebagai contoh, beberapa jenis dry food memiliki kandungan karbonhidrat dan lemak yang tinggi, lalu menyebabkan badan kucing mengandungi lemak yang berlebihan.

Sebaliknya, pemilik kucing juga perlu memberi makanan basah dengan kualiti baik demi melancarkan sistem pencernaan dan menjaga kesihatan ginjal si bulus.

LATIHAN FIZIKAL

Kesimpulannya, obesiti atau masalah kegemukan pada haiwan ini boleh dicegah dengan mengatur pola makan dan melakukan latihan fizikal bagi si kucing kesayangan seperti bersiar-siar, bermain dengan toys atau sebagainya.


Sebaiknya juga, setiap pemilik kucing harus membawa kucing kesayangan ke klinik veterinar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun, sudah memadai.

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.