Header Ads

Pelihara Kucing Di Pejabat Mampu Atasi Tekanan Kerja


Sebuah syarikat di Jepun telah memperkenalkan satu idea hebat  bagi membangunkan modal insan para pekerja dengan membiarkan ruang tempat mereka bekerja dipenuhi dengan pelbagai jenis kucing. Idea yang begitu unik ini dapat membantu meringkankan beban dan tekanan pekerja di pejabat serta mampu meningkatkan produktiviti.

Berdasarkan perkembangan tersebut, maka  sebuah syarikat penyelesaian perniagaan internet, Ferray Corporation telah tampil dengan pendekatan yang lebih menarik untuk memastikan kakitangan syarikat itu dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan yang bersifat comel dan lucu ini dengan lebih kerap.

AMBIL KUCING TERBIAR
Syarikat ini telah menempatkan sebanyak sembilan ekor kucing terbiar yang diselamatkan di tepi jalan dengan membenarkan ia bergerak bebas di dalam kawasan pejabat sepanjang hari tanpa halangan dari sesiapa. Jika pelawat melawat premis mereka, pasti kucing terbiar ini akan menunjukkan tabiat buruk dengan bermain pada beg dan tidur di atas meja mesyuarat.

ATASI TEKANAN KERJA
Walaupun menyedari berdepan dengan masalah sebegini, gangguan tersebut tidak meninggalkan kesan kepada mereka, malah kucing-kucing yang diambil ini kelihatan menawan sehinggakan kakitangan Ferray mengakui tahap tekanan yang mereka alami sepanjang berada di ruang kerja menurun dengan mendadak. Komunikasi dalam pejabat turut meningkat gara-gara semua orang tidak berhenti berbicara mengenai tingkah laku kucing yang begitu mencuit hari mereka.

Dalam kepesatan sesebuah bandar seperti Tokyo, polisi untuk memelihara haiwan di apartmen mahupun kediaman adalah dilarang. Sekali gus ini menjadi peluang kepada pencinta haiwan peliharaan seperti kucing akan menggunakan peluang ini sehabis baik bagi meluangkan masa berkualiti dengan kucing-kucing terbiar ini. Setiap kakitangan turut dibenarkan membawa haiwan peliharaan masing-masing ke tempat kerja selain daripada sembilan ekor kucing yang telah diambil.

Bukan sahaja itu, mana-mana kakitangan syarikat berkenaan yang tidak memiliki haiwan peliharaan sendiri akan ditawarkan oleh pihak syarikat sebanyak 5,000 Yen (RM151) sebulan sebagai imbuhan kepada mereka jika bersedia untuk memelihara kucing-kucing jalanan di luar sana.

MENGIKUT JEJAK LANGKAH
Lebih menarik lagi, Ferray bukan satu-satunya syarikat tempatan di Tokyo yang mengamalkan konsep pelik ini. Sebuah syarikat yang pakar dalam bekalan haiwan peliharaan, Mars Japan Limited turut menggalakkan kakitangannya untuk membawa haiwan peliharaan kesayangan mereka ke tempat kerja bagi menanamkan sifat cinta dan kasih sayang terhadap haiwan. Ia turutmerangkumi manfaat seperti cuti, bonus dan meliputi kos pengebumian jika melibatkan kematian haiwan mereka.

Jadi, pembangunan modal insan sebegini dilihat mampu melahirkan individu yang lebih menyayangi haiwan peliharan yang terbiar. Syarikat di Malaysia wajar mencontohi  kaedah ini yang bukan sahaja menjimatkan kos pembangunan modal insan, malah mungkin mampu mengurangkan kadar cuti sakit atau ponteng kerja. Di samping itu, kaedah ini akan dapat membantu  mendidik manusia agar menyayangi binatang dan menjauhi penderaan serta penganiayan kepada haiwan-haiwan terbiar ini.

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.