Header Ads

Berkasih-Kasihan Terhadap Makhluk Itu Satu Tuntutan


Penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang itu adalah satu kezaliman. Islam melarang sekeras kepada umatnya melakukan sebarang bentuk kezaliman baik sesama manusia mahupun terhadap binatang. 
Rasulullah s.a.w bersabda:
(Maksudnya)
“Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.”(Hadith riwayat Ahmad)
Manusia hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, terutama yang di bawah kawalannya. Jika haiwan itu merupakan peliharaan, berilah kepadanya makan minum secukupnya, jagalah kepentingan hidupnya dengan penuh tanggungjawab. Dalam hadis Bukhari bilangan 3071, Ibn Umar r.a meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan. Tiada sebab mengapa kucing harus didera, jika tidak kerana hati yang keras dan tidak bertimbang rasa. Memang hati yang keras tidak pernah mengenal mangsa, sama ada kucing atau manusia.
Dalam sebuah hadis yang juga riwayat Bukhari bilangan 3208, Rasulullah S.A.W. bersabda: Seorang pelacur dari Bani Israil diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu. Kita mungkin bertanya, bukankah anjing itu najis mughallazah (berat). Sentuhannya mewajibkan basuh tujuh kali menurut mazhab Syafie, salah satu daripadanya hendaklah dengan air tanah.
Masalah yang berbangkit dalam hadis di atas bukan soal najis atau tidak najisnya anjing, tetapi simpati dan sikap perikemanusiaan terhadap haiwan itu. Islam adalah agama rahmah dan kasih sayang terhadap semua makhluk, sama ada haiwan atau manusia, muslim atau kafir.


Kucing adalah haiwan jinak, berbuat baik kepadanya menyebabkan terhapusnya karat-karat dosa yang degil, lalu ditempatkan seseorang itu di syurga. Berlaku zalim terhadapnya pula suatu dosa yang memungkinkan seseorang dimasukkan ke neraka. Syurga dan neraka bukan perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan jawapan mahu atau tidak, tetapi suatu pembalasan berdasarkan dosa dan pahala yang lepas.
Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.
Sesampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).
 “Menyayangi binatang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul. Islam tidak hanya menitikberatkan pelaksanaan ibadah secara fizikal semata-mata malah ia perlu seiring dengan kerohanian yakni akhlak yang baik lagi terpuji. InsyaAllah”

Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.