Header Ads

National Meow Championship (Round 4) - Kategori Istimewa Munchkin Jadi Tarikan


Kategori khas kucing bulu dan berkaki pendek iaitu baka Munchkin mula diperkenalkan oleh Kelab Meow United bagi menghangatkan lagi suasana National Meow Championship 2016 (round 4) pada 5 dan 6 November yang lalu bertempat di Kompleks Metro Point, Kajang.

Lazimnya, pentas pertandingan kucing tempatan seringkali disajikan dengan penyertaan kategori-kategori sedia ada seperti kucing bulu panjang dan pendek, adult male open, adult female open, alter, household pet, junior serta sebagainya.

INOVATIF & INISIATIF

Namun, penganjuran National Meow Championship pusingan ke-4 kali ini sedikit berbeza dimana Kelab Meow United telah implementasi satu kategori baharu iaitu 1st Malaysia Munchkin Specialty Competition 2016.

Menurut Presiden Kelab Meow United, kategori istimewa baka Munchkin ini baru pertama kali diperkenalkan dalam pertandingan anjuran persatuannya.

“1St Malaysia Munchkin Specialty Competition 2016 merupakan pentas khas yang ‘dihidupkan’ oleh Kelab Meow United buat pemilik kucing tempatan untuk tampil menonjolkan baka Munchkin yang semakin mendapat tempat dan perhatian komuniti pencinta kucing di Malaysia.

“Apa bezanya acara di Kompleks Metro Kajang hari ini adalah platform terbaik buat komuniti kucing yang mempunyai minat berkecimpung dalam aktiviti pertandingan kucing tempatan.

“Seterusnya, Kelab Meow United juga mahu didik secara praktikal kepada peserta atau pemilik kucing baru untuk lebih berani sertai pertandingan kucing seperti ini. Sedikit sebanyak limpahan kebaikan yang dikongsikan dalam aktiviti sebegini mampu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap haiwan comel dan manja ini.” jelas Whan Airil yang berpuas hati dengan penyertaan sebanyak 190 ekor kucing sepanjang dua hari.

BEREBUT SLOT GRAND FINALE

Selain itu, National Meow Championship pusingan 4 ini merupakan pentas kedua terakhir sebelum semua finalis yang terpilih berpeluang merebut gelaran juara bagi edisi National Meow Awards, The Grand Finale 2016 yang bakal berlangsung pada 25 Disember ini di SACC Mall, Shah Alam.

Tambah Whan, sambutan yang diterima sepanjang dua hari pertandingan begitu memuaskan dan para peserta juga dilihat berpuas hati dengan pencapaian kucing-kucing mereka.

“Alhamdullilah, sambutan KMU pusingan 4 amat menggalakkkan. Apa yang berbeza dari cat show sebelum ini adalah kita boleh lihat penglibatan dari muka-muka baru (newbies). Oleh itu, kita boleh lihat persediaan mereka masih kurang dari pelbagai sudut namun itu tidak menjadi penghalang. Always have second chance, right.

“Kita boleh tengok ada pemilik yang lupa bawa sangkar, ada yang lupa bawa alas sangkar, teaser dan banyak lagi. Nasib baik kita ada penaja dari pet shop iaitu Dewi Petshop yang boleh menyediakan segala kelengkapan tersebut dengan mudah. Kebiasaannya, mereka hanya bawa kucing dan kad vaksin sahaja.

“Secara tidak langsung, para peserta akan belajar sendiri dengan alami sendiri, melihat dan bertanya dengan peserta lebih ‘otai’,” ujar Whan Airil yang menggunakan dua khidmat juri tempatan yang berpengalaman serta ‘orang lama’ dalam industri kucing di Malaysia.

Tidak dilupakan penaja utama bagi National Meow Championship 2016 pusingan 4 adalah Natures Protection dan Dewi Petshop.


Tiada ulasan

Imej tema oleh moorsky. Dikuasakan oleh Blogger.